About Me

My photo
seorang hamba Allah di muka bumi barakah; yang mencari sinar keimanan, Ummah Rasullullah; juga da'ie yang bertugas sebagai Murabbiyyah si Kecil... sedang bermujahadah mencari redha Ilahi... Wallahualam.. Salam Ukhwah... Jazakallah... **Thinkingg,,,Analyzing,,,Deciding for Writting... Selagi diberi kekuatan atas anugerah Ilham dari Ilahi, terus menulis dan menulis... mencari rahmat dan cintaNYA yang tidak bertepi..

Followers

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Allah membebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Allah bebankan kepada orang-orang yang terdahulu kepada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Allah pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Allah lah penolong kami, oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.." ameen~~~
[Surah Al-Baqarah: Ayat 286]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Wahai Allah yang mempunyai kuasa pemerintahan! Allah lah yang memberi kan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Allah kehendaki, dan Allah jualah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Allah kehendaki. Allah lah juga yang memuliakan sesiapa yang Allah kehendaki, dan Allah jualah yang menghina sesiapa yang Allah kehendaki. Dalam kekuasaan Allah lah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Allah Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. "Allah lah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Allah jua lah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Allah lah jua yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Allah jua lah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Allah jualah yang memberi rezki kepada sesiapa yang Allah kehendaki, dengan tiada hitungan hisabNYA" Ameen~~ [Surah Al-Imran; Ayat 26-27]

Sunday, December 11, 2011

SELANGKAHKU, ALUNAN ZIKRULLAH DALAM MUJAHADAH..






Semester ini sungguh menguji kesabaranku… Ku bersyukur dan bersujud atas nikmatNYA… Walau diriku dilanda dengan demam peperiksaan yang semakin menghampiri, diselangselikan dengan jadual yang padat kursus, namun aku masih mampu tersenyum. Menyembunyikan keresahan hatiku… Tiada siapa yang tahu. Ya, hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya. Jauh di sudut hatiku yang dalam ingin aku menjerit menghilangkan kesakitan yang ditanggung oleh hati. Pedih rasanya, pilu dan sayu mengenangkannya. Ah, untuk apa aku perlu mengenangkan kesakitan yang sedikit jika dibandingkan dengan nikmat ALLAH yang aku terima kala hatiku dilanda ketandusan semangat dalam melayari sebuah kehidupan yang serba mencabar…

“Syahira, sini tengok ada surat untuk awak.” Kedengaran suara Mira teman serumahnya mematikan lamunan.

Surat yang baru diambil dari peti surat rumah mereka direnungnya sekilas.

“Oh, ye ke… Thanks Mira.” Shahira membuka suratnya perlahan-lahan.

“Oh! Allahuakbar… Mira, saya kena buat persediaan untuk praktikal dan kursus lah minggu depan. Tapi, kenapa awal sangat… Saya nak siapkan assignment kita, dengan surat tawaran kursus minggu esok. Last minute saya dapat semua ni. Macam mana ni Mira?” Shahira terkulat-kulat memikirkan mana yang patut dilepas dan dikorbankan.

“Awak pergi je la kursus dengan praktikal tu demi masa depan awak. Awak kate memang tunggu-tunggu peluang ni. Lagipun, bukan ke awak dah ada perancangan untuk setup business, jadi dengan kursus ni awak boleh melangkah jauh.” Mira cuba menenangkan Shahira.

Namun, dari raut wajah Shahira tergambar segala perasaan sedih, risau dan tidak tenteram.

“Betul… Tapi, saya perlu hadapi exam dengan baik dan segala macam persediaan. Tapi, awak tahu tak, praktikal saya habis sehari sebelum exam “EKONOMI”. So, saya tak ready lagi untuk exam waktu tu..” Shahira sebak. Matanya mulai berair.

“Shahira….” Mira merenung tepat ke dalam mata Shahira.

“Awak dengar ya, setiap kita diciptakan berbeza. Allah dah beri awak anugerah kebijaksanaan, mudah menerima input, Cuma, awak tak yakin. Bile awak kalut, semuanya blank. Apa yang awak bace semuanya awak tak ingat. So, study je slow2x, saya yakin dengan kebolehan dan semangat yang awak ada. Tawakal jer… InsyaALLAH, awak boleh buat yang terbaik. Yang penting, awak dapat 2 dalam satu, awak akan grad tak lama lagi dan cita-cita awak pun akan tercapai insyaALLAH… Maybe 5 years more mengikut planning awak tu.” Mira memujuk Shahira dengan penuh berhemah.

Sememangnya, Mira seorang sahabat yang terbaik buat Shahira. Sejak mula-mula masuk di Semester Satu lagi, Mira mulai rapat dengan Shahira. Persahabatan mereka bertambah akrab apabila mereka sama-sama aktif di dalam persatuan mahasiswa di fakulti mereka.

“Okay Mira, saya cuba yang terbaik. Doakan saya ya…” Shahira mengalirkan air mata kesayuan.

“InsyaAllah, amin… Tapi, janganlah awak menangis.” Mira cuba berseloroh.

Shahira ketawa sambil mengesat air mata.

Hari yang ditetapkan telah tiba.

“Shaireen Shahira binti Kamaruzzaman. Sila ambil tempat awak sebilik dengan Puan Mastura Abdullah. Kami telah menetapkan awak di bilik A16-07. Semoga dapat bekerjasama.” Kakitangan dari Kementerian Pelajaran itu menjelaskan.

Salam perkenalan dihulurkan.

Taklimat dari pihak Kementerian bermula.

“Assalammualaikum semua, apa khabar? Diharapkan semua sihat. Ceria-ceria sahaja semuanya. Baiklah mengikut jadual kita akan bermula sebentar lagi. Namun, kami akan memberikan beberapa peraturan dan disiplin kursus di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia ini ya. Memandangkan anda diberikan peruntukan yang tinggi, jadi saya harap kerjasama dari semua pihak ya…”

Selesai taklimat semua mengambil tempat masing-masing mengikut kumpulan yang ditetapkan.

Shahira ditetapkan dengan beberapa orang kenalan baru yang merupakan mereka yang berpengalaman. Mereka datang dari pelbagai latarbelakang. Ada yang sudah berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak lebih dari 10 tahun, dan di kalangan mereka juga ada yang telah memegang jawatan terpenting dalam mendidik anak kecil sehingga berjaya. Tak kurang juga ada dikalangan para peserta adalah mereka yang telah lama menguasai bidang perniagaan itu. Dalam hati Shahira, dia perlu menggunakan peluang keemasan yang datang dengan bijaksana. Dia seharusnya menimba ilmu dari mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang yang merupakan sebahagian hidupnya. Baginya, kanak-kanak merupakan sebahagian hatinya. Matlamat hidupnya adalah untuk memperjuangkan hak kanak-kanak, dan ingin menjadi salah seorang yang membantu membentuk kanak-kanak, mencungkil bakatnya dan memberikan sepenuh didikan agar kanak-kanak itu dapat membesar dengan penuh seimbang dan cemerlang jasmani, rohani, intelektual, sosial dan banyak lagi. Begitulah Shahirah yang merupakan pencinta kanak-kanak.

Kelas pertama dihadiri.

“Assalammualaikum kelas. Cikgu-cikgu, harap-harap anda sihat semua. Hari ini saya akan menerangkan kepada anda tentang “Autisme dan kanak-kanak”.. Apa yang anda faham mengenai authisme?” soal Puan Zakiah, pensyarah dari Insitut Pendidikan Guru, Kampus Pengajian Islam itu sambil mengedarkan satu set nota.

Shahira meneliti beberapa penjelasan mengenai Authisme.

Disediakan oleh Pn. Ainol Azmi bt. Lazim ( Penolong Kanan Pendidikan Khas ) dan Cik Siti Maisarah Bt. Zainal ( AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama)

MASALAH PEMBELAJARAN AUTISME (AUTISM SPECTRUM DISORDER)

DEFINISI

Autisme didefinasikan sebagai kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri atau menurut Leo Kanner (1943) sebagai individu yang tidak berkeupayaan menyesuaikan diri mereka secara normal dengan persekitaran. Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menjelaskan maksud Autisme seperti berikut:

“Autisme adalah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan yang pertama seseorang bayi. Komunikasi antara mereka adalah terbantut dan mereka tidak dapat berhubung dengan secara langsung. Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Individu autisme mempunyai kelebihan intelek yang luas. Kerap kali mereka menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik atau kemahiran makenikal ataupun dalam seni muzik, ‘rote memory’ dan lain-lain”.

FAKTOR-FAKTOR AUTISME

Dari segi genetik, adik-adik kepada individu autistik lebih berisiko mengalami autisme berbanding orang lain, terutama bagi pasangan kembar seiras. Selain itu, autisme juga sering dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti Fergile X syndrome, Tuberous Sclerosis dan Phenylketonuria (PKU).

Masalah sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menyebabkan autisme. Diantaranya adalah seperti jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir, keracunan makanan dan bengkak cantik (mumps). Susunan kedudukan adik beradik juga boleh menyumbang kepada masalah autisme, iaitu anak sulung dalam keluarga yang mempunyai dua anak, anak yang keempat atau yang berikutnya bagi keluarga yang mempunyai empat atau lebih (Gargiulo, 2003).

Berkaitan dengan fungsi otak, terdapat bukti yang kukuh bahawa ketidakfungsian cereblum, limbic system dan kemungkinan juga temporal lobe dan cortex terjadi kepada individu autisme.

Kewujudan autisme juga dikaitkan dengan faktor kecelaruan autoimmune dan juga persekitaran. Dalam sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme, ketidakfungsian pelalian (immune dysfunstion) akan berkait dengan beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan autisme. Terutamanya alahan kepada makanan seperti susu dan gandum yang tidak dapat dicernakan dengan baik. Terdapat lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicerna dengan baik dan menyebabkan protien daripada makanan ini tidak bertukar menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang memlalui kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah yang melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, tumpuan perhatian dan tingkah laku (Jamila K.A. Mohamed, 2005).

CIRI-CIRI AUTISME

Jamila K.A. Mohamed (2005), telah menggabungkan kesemua ciri kanak-kanak autisme dan dibahagikan kepada enam bidang iaitu:

i. Komunikasi

Kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri komunikasi seperti berikut:

• Perkembangan bahasa lambat ataupun tiada langsung.

• Kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak

mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.

• Jarang menggunakan bahasa.

• Sukar diajak bercakap.

• Kadang kala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja.

• Perkataan atau jawapan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan.

• Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.

• Meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya.

• Suka menarik tangan orang lain apabila meminta sesuatu.

ii. Interaksi Sosial

Interaksi sosial kanak-kanak autisme dapat digolongkan sebagai sangat sukar dan ekstrem:

• Suka bersendirian.

• Tiada perhubungan mata (eye contact) dan sentiasa mengelak daripada

memandang orang lain.

• Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.

• Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.

iii. Gangguan Deria

Diantara ciri-ciri gangguan deria kanak-kanak autisme adalah:

• Sensitif pada sentuhan.

• Tidak suka dipegang ataupun dipeluk.

• Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.

• Suka mencium dan menjilat mainan atau benda lain.

iv. Pola Bermain

Pola bermain kanak-kanak autisme ditunjukkan seperti berikut:

• Tidak suka bermain seperti rakan-rakan sebayanya.

• Tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun

melambung-lambung dan menyambut mainan atau apa saja yang

dipegangnya.

• Suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin.

• Apabila menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana

sahaja.

v. Tingkah Laku

Tingkah laku kanak-kanak autisme adalah seperti berikut:

• Sama ada hiperaktif ataupun hippoaktif.

• Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang

seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-

nepuk tangan, berlari atau berjalan mundar mandir.

• Tidak suka pada perubahan (daripada apa yang sedang dilakukannya).

• Dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dan tanpa sebarang

reaksi.

vi. Emosi

Emosi kanak-kanak autisme sangat sukar diramal dan berubah-rubah. Diantaranya ialah:

• Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab, mengamuk tanpa

terkawal jika tidak dituruti kemahuannya atau dilarang daripada

melakukan sesuatu yang diingininya.

• Merosakkan apa saja yang ada disekitarnya jika emosinya terganggu.

• Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.

• Adakalanya mencederakan dirinya sendiri.

• Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.

PERKHIDMATAN INTERVENSI UNTUK KANAK-KANAK AUTISME

Proses intervensi bagi kanak-kanak autistik bermula sebaik saja masalah ini dikesan. Tumpuan intervensi pada peringkat pemulaan tertumpu kepada rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku. Rawatan perubatan yang luas digunakan untuk kanak-kanak autistik adalah penggunaan ubatan Ritalin untuk merawat masalah kurang tumpuan dan hiperaktif. Selain itu, pengambilan vitamin B6 bersama magnesium juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tumpuan perhatian kanak-kanak autistik.

Pengurusan tingkah laku merangkumi pelbagai strategi dan teknik yang digunakan untuk menambah atau mengekalkan tingkah laku sasaran (positif) dan mengurang atau menghapus tingkah laku sesuai. Diantara teknik yang digunakan adalah seperti pengasingan, kejelakan, time-out, shaping, memberi ganjaran dan sebagainya. Perkhidmatan interventif awal sangat penting bagi kanak-kanak autistik untuk membantu mengurangkan masalah autistik yang mereka alami. Selain rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku, perkhidmatan intervensi awal termasuklah pendidikan terancang.

Kanak–kanak autisme boleh dididik melalui program pendidikan yang bersepadu dan terancang. Keunikan corak pembelajaran mereka adalah disebabkan kepelbagaian atau kerencaman masalah lain yang berkait dengan masalah autisme itu sendiri seperti masalah tingkah laku, emosi, komunikasi, sosial, dan kognitif. Kanak-kanak ini diajar oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas. Bagi mencapai objektif pembelajaran kanak-kanak autisme ini, semua pihak yang terlibat terutamanya guru-guru hendaklah mempunyai kerjasama yang erat dengan ibubapa murid. Matlamat utama adalah supaya kemahiran dan pendekatan yang diajar di sekolah diteruskan dan diaplikasikan oleh ibubapa di rumah terutamanya dalam aspek pengurusan tingkah laku. Dalam kebanyakkan kes, kanak-kanak yang sudah biasa dengan tingkah laku tertentu yang kurang sesuai mendapati sukar untuk mengubah atau menghentikan tingkah laku tersebut apabila berada di sekolah. Usaha guru untuk mengubah tingkah laku itu tidak akan berjaya sekiranya tidak ada kesinambungan usaha tersebut di rumah oleh ibubapa.

Kanak-kanak autisme yang menunjukkan prestasi yang baik di dalam kelasnya diberi peluang untuk meningkatkan lagi keupayaannya melalui program Pendidikan Inklusif. Pelajar ini akan ditempatkan di Kelas Aliran Perdana untuk belajar bersama-sama dengan rakan sebaya lain yang normal. Pada peringkat awal, kanak-kanak ini akan ditemani oleh guru pembimbing. Guru pembimbing akan membantu dan memantau kanak-kanak ini belajar. Kurikulum untuk kanak-kanak autisme adalah sama seperti kanak-kanak berkepeluan khas yang lain juga.

Apabila kanak-kanak ini ditempatkan di dalam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran), mereka akan belajar mengikut Kurikulum Pendidikan Khas yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Khas. Guru akan menyampaikan pelajarannya mengikut tahap keupayaan murid dan tidak begitu terikat dengan sukatan pelajaran.

RUJUKAN

Jamila K.A. Mohamed (2006). Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa.

Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Kemementerian Pendidikan Malaysia (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas :

Kuala Lumpur.

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, (2000). Sukatan

Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah

dan Menengah.

Modul Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran : Open University Malaysia

Panjang lebar Shahira membaca nota tersebut. Tiba-tiba Shahira teringat tentang seorang anak kecil di sekolahnya.

Fahmi merupakan anak seorang pensyarahnya. Fahmi sememangnya sempurna sifat namun, dia gemar menyendiri dan tidak peka dengan persekitaran. Setiap hari dia pasti akan cuba untuk mencari jalan bagaimana untuk mengembalikan Fahmi.

Shahira cuba memberikan tumpuannya terhadap kelas yang dihadiri, namun ingatannya tetap pada Fahmi, anak didiknya yang menghidapi Authisme. Justeru, hatinya kuat untuk menghubungi anak kecil yang masih bersih itu.

Shahira meminta izin untuk keluar. Nombor telefon didail.

Kedengaran satu suara garau seorang lelaki.

“Assalammualaikum…”

“Waalaikumsalam, prof Razak, saya Shahira, teacher kepada Fahmi. Apa khabar Fahmi ya Prof?” Shahira memulakan bicaranya.

“Oh Shahira, Alhamdulillah dia macam tu lah. I pun tak tahu nak buat macam mana. Ada apa ya teacher?” Prof Razak hairan.

“Tak ada apa prof, saya sekadar nak bertanya khabar. Boleh saya bercakap sebentar dengan Fahmi?” Shahira cuba memberanikan diri walau hakikatnya dia cukup gerun dengan lelaki yang berusia menghampiri 50 itu.

“Silakan…” kedengaran suara Prof Razak memujuk Fahmi dari hujung talian.

“Assalammualaikum Fahmi. Teacher Shahira ni sayang.” Sambil menahan sebak Shahira cuba tersenyum mengalirkan keceriaan buat anak didiknya yang istimewa itu.

Bagi Shahira, Fahmi merupakan anugerah Allah yang istimewa dan tiada tolok bandingannya dari sisi Allah. Pahala sudah pasti menjadi iringan dalam tiap langkah hidup Fahmi. Sesungguhnya, ciptaan cukup indah dengan pelbagai keistimewaan.

“Teacher Shira…” ada 1 suara di hujung talian selepas talian disambungkan ke Prof Razak.

“Macam tu la teacher. InsyaALLAH, teacher cuba lah approach, kalau-kalau dia boleh sihat macam kanak-kanak lain.” Prof Razak merayu.

“InsyaALLAH, saya cuba yang terbaik. Bagi saya, Fahmi unik. Cuma dia perlukan perhatian yang lebih dari Prof.” Shahira menjelaskan panjang sebelum menamatkan talian.

Shahira melangkah laju masuk ke dalam kelas dengan penuh semangat. Hatinya cekal untuk mencari cara bagi memulihkan anak didiknya yang sudah menjadi tanggungjawabnya. Walaupun sukar, namun sekurang-kurangnya dia tetap mahu mengubah stigma masyarakat tentang Authisme. Hatinya kuat untuk mengembalikan sifat normal manusia bagi anak didik kesayangannya itu.

Kuliah dalam kursus dilalui, terlalu indah untuk disia-siakan peluang yang diberikan. Shahirah kerap berbincang tentang kursus yang dihadiri. Setiap kali perbincangan kumpulan dijalankan, Shahirah tidak menjadi ahli kumpulan yang pasif sebaliknya dia aktif memberikan pandangan, cadangan dan turut serta menyumbangkan tenaganya. Walaupun dia sedar dia masih baru dan mentah dalam bidang yang dicintainya itu, namun segalanya ditangani dengan kerap bertanya. Alhamdulillah, ahli kumpulannya juga tidak lokek berkongsikan pengalaman dan idea. Dari situlah Shahirah mempelajari pelbagai perkara baru.

“Okay, sekarang saya nak cikgu-cikgu buat “Lesson Plan” mengikut tunjang “Fizikal” dengan menggabungkan persembahan lakonan sedikit, lukisan, dan nyanyian.”

Shahira sekumpulan keriangan. Sememangnya Shahirah cukup bertuah memiliki rakan-rakan sekumpulan yang mempunyai pelbagai ragam dan ceria-ceria semuanya.

Tamat masa perbincangan yang diberikan selama 20 minit, tibalah masa untuk mempersembahkan hasil kerja masing-masing.

Giliran kumpulan Kak Hasreen.

Sepanjang pembentangan K.Hasreen menceritakan pengalaman anaknya yang menghidapi penyakit Authisme. Namun, atas kebijaksanaannya dia dapat membantu proses pembentukan insan yang menurut fitrah iaitu sama seperti kanak-kanak lain. Tangisan seorang ibu itu turut menyentuh sifat keibuan Shahira. Walaupun dia masih belum berkahwin namun dia turut menyayangi insan yang bernama kanak-kanak.

Pengalaman yang dikongsikan oleh Kak Rose sepanjang pembabitannya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini pula turut menyentuh hati Shahirah yang mana kanak-kanak yang kekurangan perhatian kedua ibu bapanya, apatah lagi sering ditinggalkan out station merupakan beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah itu. Sudah jatuh ditimpa tangga, malang sekali jika sejak dilahirkan anak itu dibiarkan bersama pembantu rumah yang tidak langsung memberi perhatiannya. Sebaliknya hanya dibiarkan anak kecil yang bersih putih itu dibiarkan di hadapan televisyen.

“Puan, ada satu kes kami… anak itu berkomunikasi pun ala-ala kartun. Ye la, parents pergi outstation berbulan-bulan, then baby dibiarkan di hadapan tv. Tanpa bimbingan dari sesiapa, bibik pun hanya buat kerja..” Kak Hanah menambah.

Sebak hati Shahira mengenangkan nasib kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa itu. Mereka putih bersih, yang mereka tahu hanya menangis apabila penat, lapar, sakit, dan rasa tidak selamat. Selebihnya mereka hanya tidur sahaja. Jika negatif yang diberikan, maka negatiflah di akhirnya.

Shahirah tidak kurang juga pernah melalui nasib yang sama seperti anak-anak kecil itu. Menyendiri dan ketakutan apabila ayahnya sering memarahinya, ibu dan ayahnya sering bergaduh hanya kerana perkara kecil. Sejak kecil dia sering menjadi mangsa buli kedua ibu bapanya, saudara maranya serta jiran tetangga yang cetek ilmu pengetahuannya. Dia tidak tahu mengapa kepedihan silamnya menjadi sebahagian sejarah yang membentuk dirinya agar menjadi seseorang untuk membela nasib kanak-kanak yang malang itu. Namun, dia bersyukur kerana semua itu mendidiknya agar menjadi insan yang berbakti pada keluarga, masyarakat, dan negara.

“Namun, di sinilah tugas pendidik pra sekolah. Lakukan tugas anda sebaiknya. Cuba kenali dan fahami jiwa mereka jika anda sayangkan mereka… Bentuklah mereka ketika di alam kanak-kanak sebelum mereka terus dengan kehidupannya yang menyendiri…” pesan Puan Zakiah yang cukup bermakna yang menakhiri kuliah.

Shahirah terus merenung langit… Menadah tangan mensyukuri nikmat Allah… Sesungguhnya dia masih ada di jalan yang benar untuk menjadi pejuang dalam kehidupannya. Sedangkan dia sudah berjaya keluar dari kepompong kehidupan silamnya, kini dia pasti Allah akan membantunya untuk menjadi sebahagian mujahidah dalam menjalani arus kehidupan…


Moral dari cerita ni:

1. Guru - Jalankan tanggungjawab anda sebaiknya. Penuhkan ilmu di dada, tangani emosi, bentuklah si kecil yang putih bersih dengan sebaik-baiknya. Letakkan diri anda di tempatnya, insyaAllah anda pasti akan menjadi pendidik yang baik... amin..

2. Ibu bapa - Sebok macam mana pun, pastikan anak diberikan perhatian yang secukupnya. Letakkan diri anda di tempat mereka. Bagaimana perasaan anda? Dan penuhkanlah ilmu keibu bapaan yang sepenuhnya. Jika boleh berikan pendidikan seawal 3 tahun.... Jangan biarkan mereka berseorangan tanpa kawan di rumah. Biarkan mereka belajar bergaul dan bersosial "dalam konteks positif" supaya mereka membesar dengan seimbang.

3. Sahabat - Jadilah sahabat yang terbaik bagi sahabat anda. Dalam memberikan pandangan yang membina.

4." Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya sebagai yahudi, atau menjadikannya sebagai nasrani atau menjadikannya sebagai majusi.

Sunday, November 27, 2011

LILIN TERAKHIR BUAT SARAH..



Sambil meneliti senarai tugasan yang perlu disiapkan, Syuhaibah menaip beberapa baris ayat untuk tugasannya yang keempat. Research Paper yang bertajuk “Psychology in Kids” dalam pengajiannya untuk menamatkan Sarjana Muda “Pendidikan Awal Kanak-Kanak” di Universiti Pendidikan Sultan Idris sedang disiapkan. Matanya cukup laju meneliti beberapa helaian kertas di hadapannya, sambil sesekali berganti arah ke beberapa buah buku di sebelah kanannya. Kaca matanya diperbetulkan apabila dia mengecilkan matanya kerana kurang jelas.

Kita hanya mampu merancang dan selebihnya hanya Allah yang akan menentukan. Itulah hukum alam. Sebenarnya Syuhaibah merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya. Namun, kecintaannya terhadap dunia perkembangan si kecil membuatkan dia lagi jauh dari landasan bidang yang diambil sebelum ini. Dia sanggup terjun di bidang lain yang melengkapkan 2 gulung ijazah muda sekaligus. Syuhaibah seorang gadis yang cekal melalui pengajiannya yang bukan mudah. Setiap hari dia perlu berulang alik ke universiti dan pejabatnya. Syuhaibah merupakan pembantu peguam di Syarikat bapa saudaranya di Kuala Lumpur. Selain itu Syuhaibah juga mengajar sambilan di Pusat Tuisyen berhampiran rumahnya.

Kesebokannya tidak pernah melupakan dia kepada pencipta yang Satu yang telah mengurniakan dia kejayaan seperti itu. Walau segalanya agak pahit dan berat untuk dipikul, dia pasti ujian itu akan menambahkan lagi keberkatan dan kemanisan dalam kehidupannya setelah berjaya kelak. Sememangnya, Allah itu Maha Adil. Dia pasti akan memberikan kejayaan juga, dan DIA tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kejayaan tanpa sesuatu yang sukar.

Sedangkan dalam Al-Quran, surah Al-Insyirah menegaskan sebanyak 2 kali “Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan” ayat 5 & 6. Maknanya, tidak perlu berputus asa di awal usaha. InsyaAllah, ia pasti membuahkan kejayaan yang lebih bermakna andai kita sabar dan cekal.

Dilatih sebagai seorang peguam yang tangkas, Syuhaibah pantas dalam setiap tindak tanduknya. Hari ini merupakan hari cuti “Krismas” dan dia berehat bersama keluarga di kampung. Setiap kali menghabiskan masa di kampung hatinya pasti bahagia dengan tawa dan gurauan sanak saudara. Syuhaibah seorang gadis yang periang. Dia cukup gemarkan tawa.

“Mak cu, tolong alia boleh?” si kecil yang menarik tanggannya itu dibiarkan melakukan apa sahaja.
“Ye sayang, boleh. Alia nak apa?” Syuhaibah menjawab lembut nada keanak-anakkan.
“Alia nak Mak cu ajar baca bole?” si kecil yang berusia 3 tahun itu sememangnya cerdik dan mudah menangkap.
“Boleh sayang. Jom kita baca kat depan” Syuhaibah berlari-lari anak diikuti dengan Alia yang tertawa ria.

Begitulah setiap kali pulang ke kampung, pasti hatinya terhibur dengan telatah anak kakaknya yang sering membuat hatinya bahagia.

Syuhaibah tidak lokek ilmu, setiap apa yang dia miliki pasti akan ditaburkan kepada sesiapa sahaja samaada anak saudaranya, pelajarnya mahupun saudara maranya yang lain.
Pada awalnya Syuhaibah tidaklah terlalu peyayang sehinggakan semua telatah si kecil mampu dilayan. Namun, setelah sekian lama memahami, menganalisa dan mengkaji dunia kanak-kanak, kini dia mengerti, kanak-kanak adalah bersih dan suci. Mereka belajar melalui apa yang mereka lihat, pegang, rasa. Apa yang mereka terima adalah sesuatu yang mereka pelajari. Jika mereka menerima layanan yang kurang sempurna dan nak tak nak pastinya kanak-kanak itu akan membesar dengan perhatian yang kurang. Namun, sekiranya, keikhlasan diiringi dengan kejujuran dalam mencurahkan kasih sayang, pendidikan yang sempurna dan mengikut fitrahnya, insyaAllah, mereka akan membesar dengan seimbang dan sempurna fizikal dan mental.

Syuhaibah melalui rutin hariannya seperti biasa. Hari berganti hari, dan minggu membuka minggu yang baru dan seterusnya bulan berganti bulan dan tahun meninggalkan tahun yang berlalu. Akhirnya, Syuhaibah menamatkan pengajiannya dengan kepujian kelas pertama. Bahagia menyelubungi kehidupannya yang cukup yakin pada janji ALLAH bahawa menuntut ilmu juga merupakan kefarduan dan pasti mendapat pahala di sisiNYA seandainya ia bermanfaat di dunia dan akhirat. InsyaALLAH.

Kini, Syuhaibah meneruskan langkahnya dalam bidang pendidikan kanak-kanak yang sungguh mencabar. Setiap hari merupakan perjuangan buatnya. Kanak-kanak pelbagai ragam cukup mengujinya. Teori yang dipelajari tidak sama dengan melaluinya sendiri, dalam erti kata melalui pengalaman. Namun, Syuhaibah sabar atas rasa kecintaannya yang tinggi dengan anugerah Allah ini.

“Teacher, Afi pukul saya..” menangis si Hariz kerana berkelahi.
“Ok… don’t cry sayang. Afi, come dear..” Syuhaibah melambai-lambai ke arah si kecil yang kerap memukul kawan. Pendek kata memang suka mencari pasal dengan orang lain.
“So, sekarang teacher nak tahu, Afi buat apa kat Hariz sayang?” Syuhaibah bertanya lembut.
“Hariz ambil pensil Afi…” Afi merengek cuba mengadu.
“Ok, Hariz ambil pensil Afi ye?” Syuhaibah cuba mencari keadilan. Sememangnya dia dilatih untuk menegakkan siapa yang benar dan salah namun bukanlah memberi hukuman sewenang-wenangnya. Setiap kesalahan pasti ada perbicaraan.
“Hariz pinjam je..” Hariz membela diri.
“Tapi, Hariz mintak kebenaran tak? Afi bagi pinjam tak?” Syuhaibah menguji kefahaman si kecil mengapa dia tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil barang orang lain tanpa kebenaran.
Hariz terkulat-kulat sambil tanggannya menggosok-gosok mata. Hafiy hanya terkebil-kebil memahami persoalan Syuhaibah. Mungkin mereka faham keadaan yang sepatutnya berlaku.
“Ok, sekarang teacher nak cakap. Jika kita ambil barang kawan tanpa kebenaran, itu dikira sebagai mencuri dan ia berdosa. Kalau Hariz mintak kebenaran, Afi tak adalah nak marah dan pukul. Jadi sekarang Afi, Hariz salam ya sayang.” Syuhaibah mententeramkan keadaan.
Akhirnya anak yang kecil mengerti kenapa perlu meminta kebenaran. Tangis berakhir dan Syuhaibah tersenyum bahagia melihat mereka damai semula.

“Hari ni kita akan belajar Adab Menghormati Guru. Tak lama lagi Hari Guru. Jadi, teacher nak u all semua faham apa adab untuk kita menghormati guru. Sebelum teacher nak tanya, siapa yang sayang guru?” Syuhaibah memulakan kelas Fardu Ain dengan soalan yang santai.
Saya!!!..

Serentak semua mengangkat tangan dengan senyum.
“Baiklah kelas, kalau sayang dekat guru kena buat apa?” Syuhaibah menguji.
“Doa untuk guru!” jawab salah seorang anak kecil yang duduk di hujung kanan.
“Alhamdulillah, bagus. Selain mendoakan kesejahteraan guru-guru, kita juga kena dengar cakap cikgu. Cikgu minta kita buat homework kena buat, Cikgu mengajar jangan bising sebab, siapa yang pandai nanti, u all juga. Dan, sesiapa yang melihat muka cikgu juga dapat pahala.” Syuhaibah meneruskan kata-katanya sesuai dengan perkembangan si kecil.

Kelas Fardu Ain diteruskan dengan bab yang seterusnya. Selesai menerangkan serba ringkas, Syuhaibah meminta mereka menulis dan memberikan homework untuk disiapkan di rumah bersama ibu bapa mereka. Di situlah peranan ibu bapa dalam melengkapkan lagi proses pembelajaran si kecil.


16 May 2011

Hari Guru tiba, seluruh sekolah sebok dengan sambutan yang serba meriah. Tak terkecuali Sekolah Kebangsaan Putra Mahkota yang dipenuhi dengan bunga-bungaan.
Syuhaibah tiba awal pagi itu. Setibanya di pejabat, dia mengemas meja dan menyusun beberapa buku agar nampak teratur. Sambil itu dia mengemaskini rekod pelajar dan laporan mingguannya yang diminta oleh Guru Besar setiap minggu.

Hari ini Syuhaibah mengenakan Jubah lembut berwarna putih. Al maklumlah hari Jumaat, hari yang mulia, penghulu segala hari. Setelah mandi sunat jumaat pagi tadi tanggannya laju mencapai jubah putih dan berselendang labuh putih senada yang menampakkan keayuan dan kelembutannya.

Penampilan baginya biarlah simple tetapi selesa.

“PERHATIAN KEPADA SEMUA GURU, PERHIMPUNAN MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU BERMULA SEKARANG. SILA BERKUMPUL DI DEWAN KAYANGAN, BLOK 1”

Pengumuman telah berkumandang dan Syuhaibah segera menghayunkan langkah menuju ke Dewan Kayangan yang tersergam cantik.

Sambutan hari guru tahun ini sungguh meriah. Mereka cukup bijak merancang persembahan demi persembahan menarik dan menghiburkan hati guru-guru yang banyak menabur jasa dan bakti.

Sedang Syuhaibah asyik mefokuskan perhatianny kepada persembahan pelajar kelas 4 Hanbali, dia dikejutkan oleh satu suara.

“Selamat Hari Guru Cikgu. Terima Kasih melayan kami dengan baik.” Sarah, pelajar tahun 3 yang sememangnya cukup baik pekertinya menghulurkan sekuntum bunga ros hidup yang segar.

“Ya Allah, terima kasih Sarah!”Syuhaibah tersenyum lantas satu ciuman kasih singgah di pipi comel Sarah.

Selepas beberapa minit sekumpulan pelajar Afi, Hariz, Faris dan Didi menghampiri Syuhaibah dan memberikan bungkusan hadiah dan beberapa kuntum bunga. Syuhaibah hanya mampu tersenyum sambil menahan air mata yang bergenang di sebalik kelopak mata yang tabah.

Begitu rupanya perasaan seorang guru yang diraikan ketika sambutan sebegitu. Bukan dia minta untuk diraikan, cukuplah menghargai dengan sebuah kejayaan dan memanfaatkan ilmu yang telah dicurahkan selama-lamanya.

Tamat sahaja majlis, Syuhaibah kembali ke pejabat dan duduk menghadap komputer ribanya. Sambil log in, dia terpandang sekotak hadiah yang berbalut kertas corak rona putih dan satu sampul surat yang disisinya ada sekuntum bunga.

“Ya Allah, siapa yang beri ni. Salah orang kot” Syuhaibah berkata di dalam hati sambil membelek-belek andai ada nama yang bukan untuknya. Mungkin tersalah meja ke.

Setelah diteliti sememangnya hadiah dari pelajarnya. Aida, seorang pelajar yang dahulunya corot tetapi, setelah mendapat tindakan disiplin akhirnya dia berubah. Antara 10 pelajar yang cemerlang.

Kad dibuka dan Syuhaibah membaca perlahan. Kaca matanya di letakkan di sisi.
“Assalammualaikum teacher. I would like to thank for everythings. Teacher tak jemu ajar saya, marah dan tegur saya. Teacher buat saya sedar. No words to describe how I love u. Tapi, saya dah pergi buat selamanya. Saya sakit leukemia, semalam saya dapat salam teacher tapi saya tak nak teacher sedih saya nak pergi, sebab tu saya tak nak bagitau. Saya minta mama bagi hadiah nie lepas saya pergi. Saya doakan teacher bahagia dunia akhirat dan mendapat keampunan. Semoga Allah beri teacher syurga. Amin…”

Air mata bercucuran. Syuhaibah menahan sebak… Mengapa kesakitan sebegitu seharusnya dirahsiakan. Apa salahnya dia dimaklumkan, sekurang-kurangnya dia dapat berbakti menjaga dan menjadi guru yang berjasa untuk kali terakhir buat anak didiknya.

Namun, setiap pertemuan, perpisahan dan ajal maul itu di tangan Tuhan. Syuhaibah hanya mampu berdoa semoga kasih Sarah akan membawanya ke syurga dan dia akan dipertemukan di sana.

“Mulianya hatimu si kecil ku sayang…” bisik hati Syuhaibah.
Masih segar di ingatannya pada suatu hari..
“Teacher, mama dengan papa tak sayang Sara…” sambil teresak-esak si kecil mengadu.
Syuhaibah tercengang. Di mindanya terfikir bagaimanalah kanak-kanak sekecil itu boleh berperasaan sebegitu. Segera dia cuba mengorek dan mencari punca kesedihan Sarah.
“Jangan cakap macam tu sayang. Papa dengan Mama sayang Sarah la.. Cuma mereka tak tunjuk je. Kenapa Sarah cakap macam tu sayang?” Syuhaibah mententeramkan keadaan.
“Mama dengan Papa selalu bergaduh kuat-kuat, marah Sara.. Tak nak peluk Sara.” Air mata si cilik bercucuran lagi.
“Ya ke… hmmm, mama dengan papa penat kot. Jadi, Sarah jangan lah buat mama dengan papa marah Sara pula ye… Sara kena dengar cakap mereka, jangan minta yang bukan-bukan, boleh?” Syuhaibah semakin simpati dengan anak didiknya itu.

Dengan sayu si kecil itu menganggukkan kepalanya.

Sejak dari itu mereka semakin akrab. Syuhaibah umpama ibu bagai Sarah. Bagi Syuhaibah, jika kasih sayangnya mampu meringankan beban si kecil yang tak berdosa dan putih bersih, dia sememangnya tidak lokek memberikan perhatian yang lebih kepada Sarah.

Syuhaibah tersedar dari lamunan… Dia beristighfar… Sesuatu yang lepas tidak seharusnya dikenang. Namun, cukup bermakna dalam kehidupannya.

Hadiah di hadapannya dibuka perlahan-lahan, cermat secermat dirinya menjaga hati Sarah semasa hayatnya. Kertas pembalut yang berona putih bercorak tanpak sayu dengan suasana hari itu.

Kotak dibuka. Sebuah Al-Quran, dan sehelai sejadah menjadi satu alunan zikrullah buat aruah yang pergi tanpa pesan. Syuhaibah cuba bertahan dan tabah melalui saat-saat kepiluan itu.

Betapa hidup ini singkat, yang terlalu muda sudah pergi dulu… Tapi, semua itu kan takdir. Sekiranya ajal menjemput esok tiada siapa yang dapat menolak…

Pemergian Sarah meniupkan semangat Syuhaibah lagi untuk menjalankan amanah yang diberikan sebaiknya kepada pelajar lain. Baginya, hanya melalui ladang ilmu itu sahaja lah dia dapat menggandakan amalannya sebagai bekalan ke alam sana. Setiap apa yang ditarbiyahkan menjadi persoalan di akhirat kelak agar menjadi titian untuk mendekatkan dia ke syurga hakiki…InsyaALLAH…


MORAL OF THIS STORY
1. Jangan berputus asa dengan ujian hidup.
2. Tidak semestinya bidang kerjaya selari dengan bidang kepakaran kita. Namun, biarlah ilmu bermanfaat dalam apa jua bidang.
3. Menuntut ilmu adalah dituntut
4. Buat para guru, ikhlas dan didiklah kanak-kanak sebaiknya agar mereka dapat membesar dengan seimbang dan cemerlang
5. Mempunyai komunikasi yang baik dengan pelajar
6. Buat ibu bapa berilah kasih sayang dan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak anda agar mereka membesar dengan seimbang dan cemerlang, insyaAllah.
7. Kita hanya mampu merancang, selebihnya Allah yang menentukan
8. “Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan,” Surah Al-Insyirah, ayat 5,6

CERITA INI HANYA REKAAN YE… DI KALA ASYIK MENAIP ASSIGNMENT, TANGAN INGIN MENULIS UNTUK RENUNGAN BERSAMA.

Wednesday, November 23, 2011

APA ERTI SAYANG?


APA ERTI SAYANG?

Mata Mawar hampir tertutup, menahan rasa ngantuk. Beberapa kali dia menguap.. Sesekali dia tersengguk-sengguk namun, dia harus bertahan. Mengenangkan tugasan yang mesti diserahkan esok pagi. Jam menunjukkan tepat jam 2.00pagi. Waktu sebegitu, selalunya Mawar sedang dibuai mimpi indah. Namun tidak pada hari itu. Dia harus menyiapkan tugasannya lewat kerana beberapa kali dia mengalami masalah untuk fokus dengan tugasan yang diserahkan kepadanya. Kesakitan yang dideritai hanya mampu dipendamkan. Mawar mengalami kecacatan dalam sel darah merahnya. Dia menghidapi penyakit thalessemia minor yang tidak siapa ketahui. Segalanya dirahsiakannya sendiri.

Beberapa kali dia terlantar di atas katil hospital. Namun, semangatnya yang gagah telah membantu dia untuk bertahan dalam meneruskan hidup yang mencabar. Hanya keluarga terdekat sahaja yang mengetahui keadaan sebenar Mawar.

Walaupun Mawar menghidapi penyakit yang mungkin dikenali sebagai pembunuh senyap bagi sesetengah orang itu, namun dia cekal dan tabah sekali meneruskan kehidupan yang terlalu banyak kebarangkalian.

“Mawar, awak perlu submit assignment esok. Draft nie dah ok. Cuma awak perlu expand lagi review especially kat part advantage ya”, Dr.Harun, pensyarahnya mengingatkan semalam.

Masih terngia-ngia suara garau lelaki berusia 45 tahun itu. Sememangnya Dr. Harun seorang pensyarah yang tegas namun sentiasa membantunya dalam hal pelajaran. Walaupun begitu, Mawar tidak mahu terlewat dalam menghantar tugasannya. Jika boleh, setiap tugasan perlu on time.

Kepalanya mulai berdenyut-denyut.

Mawar bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk. Baginya, ia cara termudah untuk mendapatkan terapi yang baik agar lebih segar. Seusai keluar dari bilik air mawar mencapai telekung dan bersujud memohon keredhaan Allah atas segala tugas dan perjuangannya. Di atas tikar itu jugalah Mawar mencari kekuatan demi sebuah perjuangan yang gigih.

Selesai berdoa, Mawar menyiapkan sedikit lagi tugasan yang tersedia di hadapan skrin komputernya. Seraut wajah hamba Allah memenuhi ruang mindanya seketika. Lantas Mawar beristighfar dan meraup wajahnya. Astagfirullah al azim…

Mawar memandang ke sisi komputer ribanya. Terletak cantik di sebelah kanan, Mawar terpandang beberapa hadis terkemuka tentang kasih sayang.

“Tiada beriman seseorang kamu, sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (HR Bukhari, Muslim)

“Umpama orang-orang yang beriman itu dalam kasih-sayang mereka, belas-kasihan mereka, serta rahmat-merahmati mereka, umpama tubuh, yang jika salah satu anggotanya mengaduh sakit, akan menurut semua tubuh itu dengan berjaga malam dan menanggung demam.” (HR Muslim, Ahmad)

“Orang-orang yang merahmati orang lain akan dirahmati oleh Allah Maha Pengasih. Rahmatilah yang di atas bumi, niscaya kamu akan dirahmati oleh yang di langit.” (HR Ar Tarmizi, Abu Daud & Ahmad)

Mawar merenung seraut wajah hamba Allah yang semakin dijauhi. Hafiy, seorang lelaki yang sejak akhir-akhir ini cuba mendekatinya. Dia seharusnya memperbanyakkan amalan dan mengabdikan sepenuh hatinya kepada pencipta, Allah yang Maha Agung. Namun, rasa hatinya sukar dinafikan. Dia tetap seorang wanita yang mempunyai hati dan naluri yang sama menurut fitrah kejadian manusia dan kaum hawa.

“Menurut satu Riwayat Ahmad, Apabila keluar berdua-duaan antara lelaki dan wanita, orang ketiganya adalah syaitan”. Pesan Prof Dr. Ahmad pada suatu hari di dalam kelas cukup membataskan Mawar untuk bergaul bebas seperti gadis seusinya.

Namun, kasih sayang itu fitrah. Sebaiknya Mawar beristikharah dahulu, bisik hati kecilnya. Tak salah rasanya bersahabat bukannya berdosa asalkan ia tidak melanggar batas-batas yang telah Allah tetapkan.

Sejak beberapa hari kebelakangan, Mawar kerap bertemu dengan seorang hamba Allah yang memperkenalkan diri sebagai Hafiy, dan telah menghulurkan salam persahabatan. Jika salam perkenalan dan ukhuwah yang dijalinkan, Mawar terima dengan hati yang terbuka. Namun, hajat Hafiy untuk menjalinkan hubungan yang serius sememangnya Mawar berfikir panjang. Hatinya berbolak balik..

Kesakitan yang menyerang segala urat sarafnya seakan-akan menolak segala lelaki yang menghulurkan niat yang sebenar dalam ukhuwah yang telus. Bukan Mawar tidak sudi atau memilih siapa yang dia perlu terima, namun ketika ini bukanlah masa untuk dia terus memikirkan soal perasaan walau tidak dinafikan cinta itu fitrah.

Fakulti Pengurusan Maklumat, Uitm Puncak Perdana hari itu sungguh meriah dengan sambutan “Karnival Makanan Halal” di hujung sudut padang. Bangunan university yang tersergam megah dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang terdiri dari pelbagai ragam dan masing-masing mempunyai urusan tersendiri. Ada di antara mereka yang sedang menghadiri kuliah, ada yang mengadakan perbincangan, ada yang menunggu kehadiran ahli kumpulan untuk menyiapkan tugasan.

Mawar berdiri di hadapan perpustakaan atas satu niat untuk menyiapkan tugasan semalam yang harus dihantar sekejap lagi. Dia perlu menyemak semula buat kali terakhir sebelum menghantarnya.

Selepas siap sahaja tugasan yang rasanya seperti masih belum 100% effort yang diusahakan, Mawar beredar dari perpustakaan dan beberapa helaian yang telah dirias kemas dengan kertas keras berwarna hijau. Mawar menyerahkan kepada Dr. Harun dengan keyakinan yang hanya 50%. Apapun, dia percaya jika diberi peluang dia pasti boleh melakukan yang lebih baik dari hasil yang telah bertukar tangan itu.

“Tahniah Mawar. Semoga berjaya”, kata-kata Dr.Harun disambut dengan senyuman mekar dari wajah Mawar sambil berterima kasih.


Selesai berjumpa dengan Dr. Harun, Mawar melangkah penuh semangat kerana tugasan yang lain menanti di hadapan lebih penting untuk diselesaikan dari memikirkan sesuatu yang membuatkannya meresa tertekan.

Terkesima Mawar apabila matanya bertembung dengan hamba Allah yang telah beberapa lama bermain di benaknya. Langkahnya terhenti..

“Assalammualaikum, Mawar.” Tegur hafiy.

“Waalaikumsalam..” balas Mawar seraya tertunduk segan.

Mawar cuba mencari kekuatan untuk memandang tepat wajah Hafiy. Segala perasaan dibuang jauh.

“Nak pergi kelas ke?”tanya Hafiy lagi.

“Ya… erm, maafla Hafiy saya nak cepat ni.”Mawar mencari alasan untuk mengelak.

Ya lah, matanya juga sedikit membengkak kerana tidur lewat semata-mata untuk menyiapkan tugasannya semalam.

“Oh, ok.. tapi, saya cuma nak beri awak sesuatu.” Hafiy menyerahkan sekotak hadiah yang kecil. Comel jer, tapi Mawar tidak berdaya untuk bertanya apatah lagi menolak.

“Terima kasih Hafiy.” Balas Mawar seraya meninggalkannya tercengang.

Mawar mengambil tindakan pantas. Dia segera mencari alasan untuk cepat beredar. Dalam hati Mawar, dia pasti akan memulangkan sekotak hadiah comel pemberian Hafiy tersebut.

Pulang dari kuliah, Mawar menangis menerima sebentuk permata pemberian Hafiy. Terkejutnya Mawar tuhan sahaja yang tahu. Di dalamnya, beserta sehelai kertas tertulis:

“Tiada beriman seseorang kamu, sehingga dia mencintai saudaranya, seperti dia mencintai dirinya sendiri.”

(HR Bukhari, Muslim)

“Umpama orang-orang yang beriman itu dalam kasih-sayang mereka, belas-kasihan mereka, serta rahmat-merahmati mereka, umpama tubuh, yang jika salah satu anggotanya mengaduh sakit, akan menurut semua tubuh itu dengan berjaga malam dan menanggung demam.”

(HR Muslim, Ahmad)

“Orang-orang yang merahmati orang lain akan dirahmati oleh Allah Maha Pengasih. Rahmatilah yang di atas bumi, niscaya kamu akan dirahmati oleh yang di langit.”

(HR Ar Tarmizi, Abu Daud & Ahmad)

“Dan orang-orang yang lebih dahulu dari mereka bertempat tinggal dalam kampung (Madinah) serta beriman, mereka menunjukkan kasih-sayang kepada orang-orang yang berpindah ke kampung mereka, dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (yang berpindah itu), bahkan mereka mengutamakan (kawannya) lebih dari diri mereka sendiri, meskipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang terpelihara dari kekikiran jiwanya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

(Al-Hasyr: 9)

Kamu belum lagi beriman, sehingga kamu menyayangi (orang lain). Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Kami sekalian penyayang. Ujar baginda pula: Sesungguhnya ia bukanlah dengan kesayangan seseorang kamu terhadap saudaranya semata, tetapi mestilah ia kesayangan terhadap seluruh manusia.”

(HR: Attabarani)

“Kasihanilah orang lain pasti kamu akan dikasihi.”

H.r.Al-Bukhari

Mawar hanya mampu termenung sambil matanya semakin layu dan dibuai mimpi indah. Ketika itu, Mawar melupakan segala apa yang terjadi sebentar tadi.

Keesokan paginya, Mawar terkejut dengan 10 missed call dan 5 message. SMS dibuka satu persatu.

“Mawar, Hafiy nak minta maaf dari hujung kaki sampai hujung rambut, Hafiy ikhlas menghargai Mawar seperti permata yang bersinar. Semoga mendapat keberkatan dan berjaya. Amin… Semoga kita berjumpa di syurga..” SMS Jam 12.30am. 12.12.2012

Message yang mengejutkan Mawar.

Dan, yang terakhir..

“Assalam Mawar, Hafiy kemalangan. Dia di ICU sekarang.” SMS dari Hafizah, sepupu Hafiy Jam 1.00am. 12.12.2012.

“Semoga ALLAH merahmati roh Hafiy. Mari kita sama-sama berdoa untuk aruah. Hafiy sudah kembali ke alam baqa.” Message jam 2.00am. 12.12.2012.

Hanya air mata dan sujud yang mampu Mawar panjatkan ke hadrat Ilahi. Namun, yang pergi tetap tidak akan kembali. Persahabatan dan Sayang baginya terlalu mahal untuk disia-siakan. Hanya doa yang mampu dipanjatkan sebagai tanda kasih berkekalan selamanya… Wallahu alam.

  1. Jangan siapkan assignment last minute
  2. Kenali, fahami dan ambil pengetahuan tentang penyakit thalessemia yang merupakan penyakit keturunan. Mereka tidak menampakkan apa-apa tanda luaran / fizikal tetapi ia melibatkan sel darah merah.
  3. Buat pemeriksaan darah – Adakah anda pesakit, pembawa, @ penghidap thalessemia? Ia amat penting demi masa depan.
  4. Menurut satu Riwayat Ahmad, “Apabila keluar berdua-duaan antara lelaki dan wanita, orang ketiganya adalah syaitan”.
  5. Raihlah cintaNYA dahulu dengan mendapatkan keberkatan dalam menuntut ilmu @ tetapkan matlamat sebelum mendapatkan cinta manusia.
  6. Jangan menyalahkan takdir sekiranya cinta tetap hadir kerana ia fitrah, dan bersyukurlah padanya. Boleh berkasih sayang namun, biarlah ia setelah menjadi yang halal.

Perlu diingatkan cerita ini sekadar rekaan semata. Tiada kaitan dengan yang hidup @ yang telah meninggal dunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails