Sunday, May 25, 2014

Jika ini takdirMU..



http://katahatiputeri.blogspot.com/2014/05/sebuah-pertemuan-pertama-dan-terakhir.html?m=1?

KU DAMBA CINTA ILAHI..JIKA BUKAN JODOH. 

Bismillahirrahmanirrahim.... 

Soal jodoh pastinya bermain di benak hati setiap insan. Siapa yang tidak ingin dicintai dan mencintai bukan? Cinta itu keperluan insani, fitrah dan melengkapkan kebahagiaan. Tanpa cinta hati manusia menjadi kosong, tiada semangat untuk meneruskan kehidupan. Namun sedarkah kita, cinta hanya perlu diraih setelah kita mengenal & mencinta Pencipta kita, Rabbul Izzati sesungguhnya. Cinta insani selepas memperoleh cinta Ilahi itu sememangnya sempurna dan kekal bahagia walau apa jua dugaan yang melanda.

Suatu hari akak dirisik secara peribadi dan tidak formal oleh seorang ukhti yang dihormati serta dikagumi untuk adik lelakinya. Alangkah terkejut akak. Akak ambil masa sehari untuk membuat keputusan pertama iaitu bertaaruf. Alhamdulillah dengan batas-batas agama yang dijaga dan dibajai kami terus berhubung tanpa suara, hanya melalui teknologi whatssapp. Alhamdulillah, atas kurniaanMu ini ya Ilahi! 

Di samping bertaaruf, akak istikharah dan membuat sedikit penilaian awal serba sedikit tentang kononnya 'bakal zauj' yang mungkin akan menjadi sebahagian dari kehidupan di masa akan datang. Satu demi satu petunjuk mententeramkan jiwa. Namun begitu, ada satu perkara yang akak terus tidak selesa untuk berhubung, memikirkan bahawa perhubungan seperti itu walau tanpa bersua dan bersuara lisan tetap dimurkai ilahi. Ya Allah, akak beristighfar panjang, melakukan solat sunat taubat dan menangisi mungkin selama ini mengundang murka Ilahi, walau sekadar di dunia maya. Kami tidak pernah berbual mahupun berjumpa.

Saat itu, akak sedar bahawa cinta bukan boleh diperolehi melalui cara yang sebegitu. Ukhwah wanita dan lelaki ada batasnya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Cinta tetap milik Allah. Hanya bila sampai masanya, cinta itu pasti datang, melamar dan dinikahi oleh insan yang Allah simpankan untuk melengkapkan kekurangan akak dan mententeramkan hati akak. 

Mulai detik itu akak cuba membuang semua rasa hati akak untuk berhenti berhubung walau bunga-bunga rasa sudah mulai berputik, rasa rindu mulai bermain di hati. Namun, keputusan akak muktamad. Semua untuk merebut redha Ilahi... Allahuakbar! Memangis hati akak setiap saat sujud menghadap Ilahi. Namun, cinta Ilahi lebih akak utamakan. Akak berusaha bermujahadah untuk menjadi muslimah yang solehah untuk merebut syurgaNya.. walau tidak lengkap tanpa cintaNya... 

Adik-adik, janganlah dekati zina biarpun sekadar berkomunikasi mesra di dalam dunia maya. Kuatkan iman, berdoa pada Allah untuk menetapkan iman dan diletakkan dari kalangan hambaNya yang bertaqwa. Cinta itu fitrah, namun jangan sekali mengundang kemurkaan Allah walau berbual di ruang maya, apatah lagi dengan mesra. Lepaskan juga biarpun sayang. Moga nanti cinta sebenar kurniaan Ilahi datang memujuk hati kita. Biarpun rasa kekurangan, Allah ada. Jika tidak di dunia, mungkin di syurga nanti. Cinta yang hakiki, abadi cinta yang tulus ikhlas aturan Allah. Adikku, akak masih mendoakan semoga pengorbanan kita untuk meraih dan merebut Cinta Ilahi akan mendapat redhaNya. Moga ada sinar kebahagiaan yang tulus nanti! Usah dirisaukan kata-kata manusia kerana Allah Maha mengetahui walau sayang, walau rindu, simpanlah. Menangislah di sepertiga malam, in shaa Allah seusai itu hatimu pasti tenang.

Ya Allah kurniakanlah kami cintaMu dan pasangan yang mencintaiMu. Sesungguhnya pertemuan dan perpisahan dengan izinMu... Bertemu kerana Allah dan berpisah keranaMu. Janganlah biarkan kami terus sendiri. Jadikanlah kami insan solehah dan kurniakan kami pendamping terbaik untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dariMu... amin.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10152252986914355&id=291202364354

No comments:

Post a Comment